Friday, June 5, 2009


Dunia semakin hari, semakin menunjukkan belangnya. Manusia pula semakin hari semakin rakus mengejar permata dunia. Sungguh dahsyat. Sehinggakan ada yang sanggup mengkhianati rakan sendiri, demi mendapatkan harta yang hanya sementara. Manusiawi sudah semakin alpa dibuai arus kemodenan. Hinggakan anak sendiri ditinggalkan begitu sahaja. Dimanakah letaknya tanggungjawab ibu bapa? Mereka sedikitpun tidak pernah meluangkan masa untuk berkongsi masalah bersama anak-anak...

Keadaan menjadi semakin huru hara. Anak-anak dibiarkan melata di tepi tangga dan lorong gelap. Tiada siapa pun yang hendak menegur perbuatan keji mereka, apatah lagi ibu bapa mereka. Semakin mengharukan, ramai dalam kalangan remaja yang sudah pandai bergaul bebas tidak kenal mahram ataupun tidak. Saling berpelukan dan bercumbu-cumbuan tanpa sedikit pun rasa malu dan segan. Malah, apabila dituding jari ke arah mereka, semakin galak lagi mereka menayangkan perbuatan keji tersebut. Bilakah mereka akan sedar dan bangun daripada buaian nafsu? Adakah ini pemimpin yang bakal menerajui tampuk pemerintahan kelak? Sungguh membimbangkan jika masalah ini dibiarkan semakin membuak-buak laksana cendawan tumbuh selepas hujan.

‘Pemimpin’. Kalimah ini merupakan jawapan kepada perubahan arus kemeruduman tamadun bangsa. Kok direnung kembali sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, sungguh bercahaya dan bergemerlapan semasa era pemerintahannya. Biarpun masyarakat pada zaman itu diibaratkan buih yang terapung di lautan, namun peribadi zuhud yang ditonjolkannya, akhirnya mampu menegakkan keadilan di kota Madinah al-Munawwarah. Beginilah ciri-ciri pemimpin yang kita idam-idamkan.

Ketahuilah bahawa untuk mengubati penyakit yang kian melarat di tanah air ini, bukanlah sesuatu yang mustahil. Islam tidak pernah mengajar umatnya agar berputus asa.. Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya? George Santanaya juga pernah berkata,’ sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya’. Rentetan itu, andai kata direnung kembali sewaktu zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Usman bin Affan, sungguh berbeza sekali cara tampuk pemerintahan mereka, ibarat langit dan bumi. Sikap Saidina Umar yang tegas dalam menerajui pemerintahannya telah melentur dan mengubah tingkah laku rakyatnya. Saidina Usman pula, biarpun sungguh lembut dan berhikmah cara pemerintahannya, namun tiada siapa pun yang mampu mengambil kesempatan terhadap khalifah ini kerana kebijaksanaannya menerajui corak kepimpinan. Inilah sebenarnya gabungan pemimpin yang diperlukan hari ini. Ya, ketegasan dalam kelembutan. Bukannya pemimpin zalim dan tidak amanah yang kita mahukan, tetapi kita mencari pemimpin yang mampu mengorak langkah drastik ke arah kesedaran rakyat.

Ambillah pengjaran dan iktibar daripada sejarah. Jika tamadun Islam mula merudum semasa era Abasiyyah, adakah kita mahu ini berterus-terusan hingga hancur ranap tamadun Islam yang pernah dibangga-baggakan suatu masa dahulu? Oleh itu, ayuhlah, marilah kita bergerak sederap saling membahu dalam usaha untuk menyedarkan bangsa kini yang sedang lena dibuai mimpi. Ingatlah, permata tidak akan terbentuk dalam sehari dua, tetapi memakan masa beberapa tahun lamanya.Justeru, beristiqamahlah dalam mendidik anak bangsa tercinta...

1 comment: